Sunday, July 27, 2008

Sukan udara mikrolight popularkan Sungai Rambai


Sukan udara melibatkan penggunaan pesawat ringan mikrolight kini menjadi antara hobi baru yang semakin berkembang di kalangan masyarakat khususnya golongan elit di negeri ini.

Namun siapa sangka, kegiatan yang memerlukan perbelanjaan yang besar itu kini sebenarnya turut mendapat tempat dan semakin digilai kalangan masyarakat luar bandar, khususnya di daerah ini.

Ini berikutan terbinanya landasan khusus untuk para penggemar kegiatan meluncur dengan pesawat ringan mikrolight di Kampung Tasik, Sungai Rambai di sini sejak lapan tahun lalu.

Selain membantu mempopularkan lagi pekan kecil yang terletak kira-kira 32 kilometer dari bandar Melaka itu, kawasan yang dinamakan taman landasan pesawat ringan itu secara tidak langsung menarik para penggemarnya baik dari dalam mahupun luar negara.

Malah, dengan adanya taman landasan tersebut yang turut digunakan bagi latihan penerbangan untuk semua jenis pesawat ringan itu memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk mengenali lebih dekat mengenai sukan udara itu.

Beberapa penduduk yang ditemui Utusan Malaysia mengakui biarpun pada awal penubuhan taman tersebut mendapat bantahan khususnya masalah alam sekitar namun setelah beberapa tahun beroperasi, mereka mula merasai manfaat daripada projek tersebut.

Malahan, menurut mereka, Sungai Rambai kini semakin mendapat perhatian masyarakat luar termasuk kalangan pelancong asing dari negara Jepun dan Australia melalui pelbagai program sukan udara yang diadakan pada setiap tahun di situ.

Menurut salah seorang penduduk, Rosman Mahat, 48, sebagai anak jati Sungai Rambai, dia berasa bangga kerana kampungnya menjadi satu-satunya kawasan di negeri ini yang menawarkan kemudahan seumpama itu.

Katanya, ramai kalangan generasi muda khususnya remaja di daerah itu semakin berani melibatkan diri dalam sukan udara yang pada pada satu ketika dulu dianggap sebagai perkara asing buat mereka.

‘‘Di sana-sini, penduduk mula berbual tentang pesawat mikrolight malah ramai di kalangan penduduk sudah merasai pengalaman menaiki pesawat berkenaan,” katanya di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Mat Yassin Sawi, 50, pula berkata, kewujudan taman landasan pesawat ringan di Sungai Rambai telah menaikkan nama dan imej pekan itu setanding dengan tempat-tempat lain di negeri ini

‘‘Macam di Serkam, kawasan itu popular dengan ikan bakar tetapi jika anda peminat sukan pesawat ringan, anda boleh datang ke Sungai Rambai untuk terbang ke udara bagi melihat pemandangan alam semula jadi,” katanya.

Bagi Abdul Kalam Hassan, kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri itu harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Sungai Rambai kerana tanpa sokongan daripada penduduk, kemudahan yang diwujudkan hanya akan menjadi sia-sia.

‘‘Seharusnya penduduk Sungai Rambai bijak merebut peluang dengan terlibat secara aktif dalam setiap penganjuran sukan udara di sini kerana banyak manfaat yang boleh didapati sekiranya penduduk sendiri mengambil peluang yang disediakan itu.

‘‘Saya harap penduduk tidak hanya menjadi penonton dan hanya berminat melihat sahaja usaha-usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri dalam menjayakan sukan udara di negeri ini pada masa depan,” katanya.