Monday, July 28, 2008

Dikhuatiri maut akibat Chikungunya

Seorang pekebun sawit, Buang Sungit, 56, meninggal dunia kelmarin, dua jam selepas dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HPSFM) kira-kira jam 6.30 petang.

Kematian tersebut mencetuskan kebimbangan penduduk sekitar apabila ia dikaitkan dengan penyakit demam Chikungunya.

Surat kematian yang disediakan pihak hospital menyatakan punca kematian Buang adalah disebabkan jangkitan kuman tahap dua dalam darah (septicaremia shock 2nd atypical infection) serta kegagalan fungsi pada buah pinggang (renal impairement).

Isteri mangsa, Kamariah Amran, 51 ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Tasek, Parit Pelawas yang masih bersedih dengan kematian suaminya secara mengejut, tidak menyangka demam panas yang dihidapi suaminya selama tiga hari boleh membawa maut.

“Saya tidak percaya demam yang dihidapi oleh arwah semenjak Khamis lalu membawa maut dengan begitu cepat tetapi saya reda dengan kematiannya,” katanya.

Tambah beliau lagi, sebelum itu, suaminya dibawa ke sebuah klinik swasta dan mendapat suntikan sebelum dirujuk kepada Klinik Kesihatan Sungai Rambai.

“Pegawai di klinik tersebut kemudiannya mendapati suami saya sudah tenat dan menghantar arwah ke Hospital Muar tetapi selepas dua jam dirawat pada hari tersebut, doktor di hospital terbabit mengesahkan suami saya telah meninggal dunia,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abd Rahman menggesa Jabatan Kesihatan mengambil tindakan segera di samping dapat memberi penerangan kepada penduduk kampung mengenai bahaya penyakit Chikungunya.

“Kita menggesa supaya mereka dapat mengambil beberapa tindakan drastik dalam usaha menangani masalah ini. Kita tidak mahu melihat ada lagi berlaku kematian disebabkan penyakit ini dan kita juga tidak mahu apabila berlaku kematian baru hendak bertindak. Kita sepatutnya mencegah ia daripada merebak.

“Oleh itu, diharapkan pihak Jabatan Kesihatan daerah dapat mengadakan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan para pegawainya turun padang melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh penduduk di DUN ini,” katanya ketika menziarahi keluarga mangsa.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Abd Latif ketika melawat ke Hospital Jasin mengesahkan enam kes demam Chikungunya di kesan berlaku di negeri ini dan Tangkak, di Muar sejak tiga minggu lalu tetapi keadaan keseluruhannya disahkan masih terkawal meskipun pelbagai khabar angin mengatakan sebaliknya.

Sehingga semalam, dilaporkan terdapat peningkatan dua kes daripada enam kes yang membabitkan deman Chikungunya.

Terbaru dilaporkan terdapat dua kes yang disyaki membabitkan kawasan Nyalas dan Chinchin.